Tidak banyak kenangan saya bersama dengan dia. Di Waktu saya masih kecil, awal tahun 1990an, dia sudah bawa haluan dia sendiri. Jarang benar dia balik ke Johor Bahru setiap kali tiba bulan Syawal. Suatu hari pada tahun 1998, dia kembali. Dia menghubungi ibubapa kami di Johor Bahru. Dia ingin berumahtangga dengan seorang jejaka Mat Salleh muallaf. Ibubapa kami terima dengan hati terbuka. Saya juga begitu. Kami sekeluarga membuat majlis kecil-kecilan untuk dia. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar.
Setiap kali cuti sekolah, kami akan ke Kuala Lumpur dan bermalam di rumah dia. Pada penghujung tahun 1998, dia membawa aku berjalan ke Jalan TAR, Kuala Lumpur. Dia membelikan persiapan persekolahan untuk saya. Ketika itu saya akan naik ke Tingkatan 2 pada tahun 1999. Ia suatu kenagan tidak boleh dilupakan. Dia membelikan bekas alat tulis kartun Winnie The Pooh. Ia kartun kegemaran saya.
Tahun berganti tahun, dia berhijrah ke Perancis atas urusan perniagaan pada tahun 2003. Kami terputus hubungan sekali lagi. Pada tahun 2009, dia kembali ke Malaysia dan menetap semula di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, dia jarang sekali pulang ke Johor Bahru pada bulan Syawal, tetapi kami berhubungan melalui telefon.
Pada tahun 2015, kami dikejutkan dengan berita dia disahkan mengalami kanser tahap 4. Ketika itu, saya telah pun menceburi perniagaan saya dan kerap naik ke Kuala Lumpur. Dapatlah saya melawat dia. Abah saya juga selalu berpesan, jenguklah dia di Kuala Lumpur walaupun dia jarang balik ke Johor Bahru. Kami sama-sama meluangkan masa berjalan-jalan di sana. Kami makan malam di KLCC sambil berbual-bual dengan hal perniagaan masing-masing dan kisah silam masing-masing.
Penyakitnya semakin teruk. Dia tidak dapat berjalan jauh. Banyak masa dihabiskan di rumah. Saya pula semakin sibuk dengan pekerjaan saya dan jarang pergi ke Kuala Lumpur. Kami hanya dapat berhubungan melalui telefon. Kali terakhir kami berbual pada bulan Mei 2017. Saya amat merindui dia dan berhubung melalui telefon. Dia menasihatkan aku jaga diri baik-baik. Jangan terlalu sibuk sehingga lupa cari jodoh. Cepat-cepat berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Jangan memilih sangat. Saya hanya tersenyum. Bukan tidak cari, pertemuan itu ada tetapi jodohnya belum tiba.
Masa berganti masa. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Saya terlalu sibuk dengan urusan kerja dan perniagaan saya sehingga tidak sempat hendak ke Kuala Lumpur untuk menziarahi dia. Pada waktu tengahari 15 November 2017, saya menerima panggilan daripada saudara saya yang menyatakan dia sudah pun meninggal pada hari tersebut.
Saya berasa sedih. Saya berasa bersalah kerana tidak dapat bertemu dan berbual untuk buat kali terakhir sebelum dia meninggal. Hanya doa dan al-Fatihah yang dapat saya kirimkan dari jauh. Saya amat merindui dia. Saya menyesal kerana menangguhkan apa yang ingin saya lakukan.
Pengajaran di sini, selalulah meluangkan masa bersama keluarga. Carilah masa walau sesibuk mana. Manusia yang hidup pasti akan mati. Kematian itu akan berlaku pada bila-bila masa. Semoga arwah Ungku Harlina di tempatkan di kalangan orang yang beriman. In shaa Allah kita akan bertemu lagi di syurga.



